FRANKFURT: Sebuah lagi gelombang jangkitan COVID-19 berkemungkinan bermula di Eropah apabila kes mula menunjukkan peningkatan di seluruh rantau itu.

Memetik laporan Reuters, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menegaskan walaupun situasi banyak berubah berbanding setahun lalu, jelas bahawa pandemik COVID 19 masih belum berakhir.

“Malangnya kita melihat petunjuk meningkat semula di Eropah menunjukkan bahawa satu lagi gelombang jangkitan telah bermula.

“Data rantau WHO menunjukkan Eropah mencatatkan peningkatan kes COVID 19 sebanyak 8% minggu sebelum 2 Oktober,” kata Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge, dan pengarah ECDC, Andrea Ammon dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, pakar kesihatan awam telah memberi amaran bahawa kekurangan sebarang kempen publisiti utama serta kekeliruan mengenai vaksin mungkin akan mengehadkan pengambilan penggalak di rantau ini.

Menurut WHO dan ECDC, jutaan penduduk di seluruh Eropah masih belum mendapat vaksin COVID 19.

Pihak mereka turut menggesa negara-negara Eropah untuk memberikan kedua-dua vaksin selesema dan COVID 19 menjelang lonjakan musim kes influenza.

“Tiada masa untuk kalah,” kata WHO dan ECDC memaklumkan golongan rentan termasuk warga emas, wanita hamil dan mereka yang mempunyai morbiditi bersama harus mendapatkan vaksin influenza dan COVID 19.