BRUSSELS: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mengumumkan blok itu akan mengenakan sekatan baharu terhadap Moscow dan meningkatkan sokongan ketenteraannya kepada Ukraine sebagai tindak balas kepada langkah kerahan tentera oleh Rusia.

"Kami akan menerus dan meningkatkan sokongan ketenteraan kami, menyediakan senjata kepada Ukraine dan akan mengkaji cara untuk melaksanakan langkah sekatan baharu terhadap Rusia," lapor Agensi Anadolu memetik Josep Borrell yang memberitahu pemberita selepas mesyuarat khas diplomat tertinggi EU di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Borrell mengadakan mesyuarat itu selepas Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu mengarahkan kerahan sebahagian besar pasukan tenteranya dan pihak berkuasa yang disokong Rusia memutuskan sehari lebih awal untuk mengadakan pungutan suara di empat wilayah Ukraine untuk menyertai negara itu.

Beliau menyebut strategi Putin untuk mengerahkan "300,000 askar dan merujuk kepada akibat ancaman nuklear" sebagai "percubaan yang tidak bertanggungjawab dan sinis untuk menjejaskan" keamanan dan keselamatan antarabangsa "pada skala yang belum pernah terjadi sebelumnya."

Beliau menyatakan bahawa langkah Rusia baru-baru ini tidak akan mengubah keazaman EU "untuk menyokong Ukraine dan sokongan menyeluruh kami terhadap keupayaan Ukraine untuk mempertahankan integriti dan kedaulatan wilayahnya selagi diperlukan."

Beliau mengesahkan bahawa EU akan terus membiayai penghantaran senjata ke Ukraine melalui Kemudahan Keamanan Eropah.

Tanpa mendedahkan butiran sekatan, Borrell menjelaskan bahawa pegawai EU "akan meneliti pakej sekatan baharu yang akan menjejaskan bahagian baharu ekonomi dan individu Rusia.

Menurut saluran berita Politico, rancangan sekatan itu termasuk mengehadkan harga minyak Rusia dan melarang import barangan mewah Rusia.

Duta EU dijangka membincangkan butirannya pada Jumaat.

Sejak perang Rusia ke atas Ukraine tercetus, blok itu telah menyediakan sejumlah EUR2.5 bilion (US$2.5 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan, termasuk senjata, serta peralatan perlindungan diri, peti pertolongan cemas, dan bahan api.

Ia juga mengenakan tujuh pakej sekatan, mensasarkan, antara lain, Putin dan Menteri Luar Sergey Lavrov, mengharamkan import emas, minyak, dan arang batu, dan eksport barangan mewah dan sekatan teknologi, serta menyekat bank Rusia dan Belarus daripada sistem pembayaran antara bank SWIFT.

-- BERNAMA