EU kecam peningkatan tentera di Nagorno-Karabakh

Bernama
September 19, 2023 15:16 MYT
Kesatuan Eropah mengecam peningkatan aktiviti ketenteraan di wilayah Nagorno-Karabakh di selatan Caucasus baru-baru ini. - Gambar fail/REUTERS
BRUSSELS: Kesatuan Eropah mengecam peningkatan aktiviti ketenteraan di wilayah Nagorno-Karabakh di selatan Caucasus baru-baru ini, kata ketua diplomat EU Josep Borrell pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Azerbaijan pada Selasa melancarkan operasi ketenteraan untuk menawan Nagorno-Karabakh, yang kebanyakannya didiami oleh orang Armenia.
"Kami menyeru agar permusuhan dihentikan serta-merta dan Azerbaijan menghentikan aktiviti ketenteraan semasa," menurut kenyataan bertulis oleh Borrell.
Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, menerusi platform X menggesa Azerbaijan menghentikan tindakan ketenteraan "untuk membenarkan dialog antara Baku dan Karabakh Armenia".
Michel telah berulang kali cuba menjadi pengantara antara Azerbaijan dan Armenia.
-- BERNAMA
#Kesatuan Eropah #kecam #peningkatan aktiviti ketenteraan #Nagorno-Karabakh