BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah akan kemukakan Rang Undang-undang baharu untuk tangani tindakan elak cukai susulan pendedahan Pandora Papers.

Cadangan Rang Undang-undang itu dijangka akan dibentangkan menjelang hujung tahun ini.

Pesuruhjaya Cukai EU, Paolo Gentiloni memberitahu, cadangan itu disenaraikan selepas kebocoran data daripada Pandora Papers.

Dokumen itu mendedahkan bagaimana golongan kaya dan berkuasa secara sistematik menggunakan syarikat luar pesisir untuk mengurangkan pembayaran cukai.

Biarpun aktiviti mengoptimumkan kutipan cukai tidak semestinya melibatkan kegiatan meragukan, namun, pembayaran cukai rendah oleh golongan kaya atas bantuan penasihat cukai, dipertikaikan.

Apatah lagi dalam keadaan dunia masih cuba bangkit semula dari krisis ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.

Rang Undang-undang baharu ini akan menyenaraikan peraturan dan maklumat yang perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa kawal selia cukai.

Ini bagi memastikan pembayaran cukai secara efektif oleh syarkkat multinasional.