DHAKA: Sekurang-kurangnya 38 terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam kejadian feri terbakar pada Jumaat di daerah Jhalokati, Bangladesh.

Timbalan pesuruhjaya daerah Jhalokati, Md Nazmul Alam, berkata feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan dalam perjalanan dari Dhaka ke daerah Barguna.

Beliau berkata kebakaran bermula di bahagian enjin kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

"Setakat ini 38 mayat telah ditemukan," katanya lapor Xinhua.

Beliau berkata ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur dan operasi mencari masih dijalankan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri hilang.

"Kami dimaklumkan feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan feri itu sudah ditarik ke tebing," katanya.

Mangsa yang terselamat memberitahu media tempatan, ramai penumpang terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

Tiada kematian melibatkan warga asing dan feri itu dilaporkan membawa lebih muatan.

-- BERNAMA