SINGAPURA: Filem The Kashmir Files mengisahkan penghijrahan penganut Hindu dari wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian akan diharamkan di Singapura, lapor CNA hari ini.

Memetik kenyataan bersama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia (MCCY) dan Kementerian Dalam Negeri (MHA) republik itu, pihak berkuasa telah menilai filem berbahasa Hindi itu yang dianggap tersasar daripada garis panduan filem di Singapura.

"Filem itu disifatkan mempunyai unsur provokasi dan berat sebelah terhadap umat Islam dan gambaran penganut Hindu dianiaya dalam konflik yang masih melanda Kashmir.

"Ia berpotensi mencetuskan permusuhan antara masyarakat, mengganggu perpaduan sosial dan keharmonian agama dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama," menurut kenyataan itu.

Di bawah garis panduan filem "sebarang bahan yang memburukkan kaum atau agama di Singapura" adalah tidak dibenarkan.

-- BERNAMA