LONDON: Perdana Menteri Britain Rishi Sunak menggunakan mesyuarat G20 pada Selasa untuk mengkritik Rusia yang berperang ke atas Ukraine, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap di Bali, Indonesia, Sunak turut mengumumkan generasi baharu frigat United Kingdom (UK) untuk meningkatkan pertahanan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Menurut kenyataan kerajaan Britain sebelum ucapan Sunak, Rusia telah "bertindak tanpa menghiraukan kedaulatan dan undang-undang antarabangsa."

"Tingkah laku Putin tidak normal, tidak ada tempat dalam komuniti antarabangsa.

"Tindakan Rusia telah meletakkan kita semua dalam risiko. Sambil kami memberi rakyat Ukraine sokongan yang mereka perlukan, kami juga memanfaatkan kepakaran UK untuk melindungi diri kami dan sekutu kami. Ini termasuk membina kapal perang British generasi seterusnya," kata Sunak.

Sunak juga mengumumkan fasa program frigat Type 26 UK, dengan kontrak bernilai GBP4.2 bilion (lebih AS$4.9 bilion) diberikan kepada BAE Systems untuk membina lima lagi kapal untuk Tentera Laut Diraja. Ini adalah tambahan kepada tiga kapal yang sedang dalam pembinaan

Type 26 beroperasi terutama dalam peperangan anti kapal selam, melindungi musuh di laut secara berterusan di UK dan dijangka siap pada pertengahan 2030-an.

Perjanjian itu akan menyokong 1,700 pekerjaan sepanjang dekad akan datang di Glasgow, Scotland, selain menyediakan 2,300 pekerjaan di seluruh rantaian bekalan UK.

"Keselamatan maritim penting untuk mempertahan negara kepulauan kita, membolehkan perdagangan global serta untuk operasi berterusan tenaga dasar laut dan infrastruktur komunikasi.

"Kepentingan dan pendedahan mengenainya telah dijelaskan pada September apabila satu siri letupan secara kritikal memecahkan saluran paip Nord Stream, memotong laluan gas utama ke Eropah," tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA