NEW YORK: Gabenor New York, Andrew Cuomo disahkan meletakkan jawatan selepas terpalit dengan dakwaan skandal gangguan seksual yang mencemarkan reputasinya.

Tindakan mengundur diri itu disifatkan satu kerjasama yang baik buat masa ini bagi membolehkan kerajaan kembali mentadbir New York.

Cuomo, 63, menerima tekanan yang mendesaknya supaya meletakkan jawatan sejak beberapa hari lalu, dan desakan itu termasuk dari Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Sebelum ini, setiausaha Cuomo, Melissa DeRosa turut membuat keputusan sama dengan meletak jawatan selepas didakwa cuba menutup perbuatan gabenor itu dan membalas dendam terhadap salah seorang individu yang membuat laporan kejadian berkenaan.

Cuomo didakwa melakukan gangguan seksual terhadap 11 orang wanita berlainan sekali gus melanggar undang-undang negeri dan Persekutuan.