NEW YORK: Gabenor baharu New York Kathy Hochul mengisytiharkan darurat pada Khamis ekoran hujan lebat dan banjir besar di wilayah timur laut Amerika Syarikat, kesan daripada Taufan Ida.

"Saya mengisytiharkan darurat bagi membantu warga New York yang terjejas disebabkan ribut malam ini. Tolong hindari jalanraya dan elakkan perjalanan yang tidak perlu," Hochul berkata menerusi ciapan Twitternya.

"Hujan lebat "melebihi jangkaan," sehingga mengakibatkan wilayah itu dalam "keadaan yang sangat dahsyat," lapor Xinhua, memetik kenyataan gabenor itu menerusi CNN.

Perkhidmatan Cuaca Nasional New York menggesa orang ramai supaya tidak menggunakan lebuhraya dan berkata; "Kami menerima terlalu banyak laporan operasi menyelamat dan pemandu yang terkandas."

Pengisytiharan Hochul dibuat kira-kira sejam selepas Datuk Bandar New York Bill de Blasio mengisytiharkan darurat di bandarnya.

"Kami menempuh peristiwa bersejarah malam ini dengan hujan lebat melanda seluruh bandar, banjir dahsyat dan jalan raya berbahaya," kata Datuk Bandar pada Rabu.

Ida membadai Louisiana sebagai taufan Kategori 4 pada Ahad sebelum melemah menjadi ribut tropika.

-- BERNAMA