MOSCOW: Tiga lelaki Rusia ditahan selepas mereka menyertai acara membaca puisi yang mengkritik serangan Moscow ke atas Ukraine.

Peguam mereka, Leonid Solovyov, ketika mengulas kepada AFP memberitahu, atas perbuatan itu, setiap daripada mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun mengikut undang-undang negara berkenaan.

Artyom Kamardin, Yegor Shtovba dan Nikolai Dayneko telah ditahan pada September 2022 selepas turut serta dalam acara membaca puisi di kawasan umum iaitu di Dataran Moscow.

“Mereka didakwa atas kesalahan ‘menghasut orang awam untuk terlibat dalam tindakan yang melanggar keselamatan negara’ dan menyebar kebencian,” ujar Solovyov.

Tambahnya, itu merupakan kali pertama sebuah kes seumpamanya dibuka berdasarkan dakwaan kesalahan berkenaan.

Kamardin antara lain mendeklamasi bait puisinya, “Bunuh aku, lelaki militia!” sewaktu acara berkenaan, yang secara langsung memberi gambaran terhadap piuak pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.

Pada keesokannya, Kamardin ditahan sewaktu serbuan dilakukan di sebuah apartmen yang dihuni bersama teman wanitanya.

Dalam perkembangan lain, Kamardin memberitahu AFP bahawa dia telah dibelasah dan diserang secara seksual dengan menggunakan alatan, oleh anggota polis. Pada masa yang sama, teman wanitanya pula mendakwa pihak polis telah membuat ugutan untuk memperkosanya.

Rusia telah meningkatkan usahanya untuk mengekang perbezaan pendapat  dan mencadangkan undang-undang baharu untuk menyekat pihak lawan sejak menghantar tentera ke Ukraine lebih setahun lalu.