Gara-gara tangkap kima gergasi, pelakon Korea Selatan berdepan hukuman penjara lima tahun

Agensi
Julai 6, 2019 22:00 MYT
Pelakon Korea Selatan, Lee Yeol Eum berdepan hukuman penjara lima tahun akibat menangkap kima gergasi di Thailand.
Gara-gara menangkap tiga kima gergasi iaitu haiwan bercengkerang yang terancam dam dilindungi, seorang pelakon Korea Selatan, Lee Yeol Eum berdepan hukuman penjara lima tahun.
Yeol Eum yang pada ketika itu sedang dalam proses penggambaran sebuah program popular di Taman Negara Hat Chao Mai, Thailand dilihat memburu sebelum menangkap tiga kima gergasi di dasar laut.
Episod yang menyiarkan adegan menangkap kima pada 30 Jun lepas sekali gus mendedahkan salah laku pelakon berusia 23 tahun itu yang secara terang-terangan melakukan kesalahan yang didaftarkan di bawah spesies terancam di Thailand.
Menerusi pratonton episod akan datang, penonton boleh melihat pelakon lain dalam program berkenaan menikmati kima berkenaan.
Dalam pada itu, pada 4 Julai lalu, media Thailand melaporkan bahawa tindakan produksi dan pelakon yang terlibat jelas menyalahi undang-undang termasuk menggunakan bot atau melalui kaedah memancing untuk memburu hidupan bercengkerang itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Taman Negara Hat Chao Mai, Narong Kongaid, yang bercakap kepada AFP dipetik sebagai berkata, dia telah membuat dua laporan terhadap Yeol Eum atas tuduhan melanggar peraturan Taman Negara dan Undang-undang Perlindungan Haiwan Liar Thailand pada Rabu.
“Dia boleh dijatuhi hukuman lima tahun penjara," ucap Narong kepada AFP.
#kima gergasi #Korea Selatan #pelakon #penjara #Thailand #undang-undang