KABUL: Satu gempa bumi kuat di Afghanistan menyebabkan 250 orang terkorban dan lebih 150 lagi cedera, lapor BBC.

Gempa bumi yang berlaku pada awal pagi ketika orang ramai masih tidur, berukuran 6.1 pada skala Richter, menurut Pusat Kajian Geologi AS.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan mangsa diusung keluar dari runtuhan dan rumah yang musnah di wilayah Paktika.

Seorang pegawai kerajaan tempatan memberitahu BBC bahawa jumlah kematian ketika ini dianggarkan sebanyak 250 namun ia mungkin akan meningkat.

Saksi melaporkan gempa turut dirasai di ibu negara Afghanistan, Kabul, serta ibu negara Pakistan, Islamabad.

“Malam tadi berlaku gempa bumi yang teruk di empat daerah wilayah Paktika, yang mengorbankan dan mencederakan ratusan rakyat negara ini serta memusnahkan puluhan rumah.

"Kami menggesa semua agensi bantuan menghantar pasukan ke kawasan itu dengan segera," kata jurucakap kerajaan Bilal Karimi menerusi satu ciapan di Twitter.