SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyampaikan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo berikutan gempa bumi yang berlaku di Jawa Barat, Indonesia, pada Isnin (21 Nov) yang mengorbankan 268 orang.

"Bagi pihak Kerajaan Singapura, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa dan mereka yang terjejas akibat bencana itu," kata Lee dalam suratnya kepada Jokowi pada Selasa.

Teks surat itu dilampirkan pada media.

"Doa kami bersama kerajaan dan rakyat Indonesia pada masa yang sukar ini," katanya.

Dilaporkan 268 orang terkorban, 1,083 cedera manakala 151 lagi masih hilang berdasarkan data yang dikumpul setakat 5 petang waktu tempatan.

"Saya amat sedih apabila mendengar tentang kehilangan banyak nyawa akibat gempa bumi itu. Saya yakin Indonesia akan dapat mengatasi kesukaran ini dan pulih dengan cepat. Maklumkan kepada saya apa yang Singapura boleh bantu," kata Lee.

Jokowi pada Selasa (22 Nov) melawat bandar Cugenang di daerah Cianjur, pusat gempa bermagnitud 5.6 yang menyebabkan lebih 56,362 orang kehilangan tempat tinggal apabila 21,282 rumah rosak termasuk kira-kira 6,570 yang runtuh.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (MFA) republik itu memaklumkan Kedutaan Singapura di Jakarta sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan mengenai situasi itu.

"Pada masa ini tiada laporan warga Singapura yang terkorban atau cedera. MFA akan terus memantau perkembangan itu dengan teliti," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Rakyat Singapura di Jakarta yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Jakarta di +62 21 2995 0400 atau Pejabat Tugas MFA di +65 6379 8800.

-- BERNAMA