SEKURANG-kurangnya 20 maut dan lebih 40 yang lain cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, awal Khamis.

Pegawai Pengurusan Bencana memaklumkan, angka korban dijangka meningkat susulan usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan, lapor agensi berita AFP.

Penduduk di Quetta turut berkongsi rakaman foto yang menunjukkan orang ramai di bandar tersebut berkumpul di jalan bagi mengelakkan ditimpa runtuhan bangunan.

Laporan awal menyatakan gempa berkenaan berukuran 5.7 pada skala Richter.

Menurut laporan media tempatan, mangsa yang cedera dan meninggal dunia telah dibawa ke hospital berdekatan.

Keadaan kecemasan diisytihar di daerah-daerah yang terkesan dalam wilayah berkenaan.