Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban kini lebih 41,000

Astro Awani
Februari 15, 2023 00:00 MYT
Lebih seminggu selepas gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, jumlah kematian kini meningkat kepada lebih 41,000 di kedua-dua negara. -Gambar fail/Reuters
GENEVA: Lebih seminggu selepas gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, jumlah kematian kini meningkat kepada lebih 41,000 di kedua-dua negara.
Sejumlah 35,418 mangsa terbunuh di Turkiye, manakala lebih 5,800 lagi di Syria, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tambahnya, lebih tujuh juta kanak-kanak terjejas akibat gempa bumi kuat dan gempa susulan besar yang memusnahkan Turkiye dan Syria minggu lalu.
“Di Turkiye, jumlah keseluruhan kanak-kanak yang tinggal di 10 wilayah yang dilanda dua gempa bumi itu ialah 4.6 juta kanak-kanak.
"Di Syria, 2.5 juta kanak-kanak terjejas. UNICEF bimbang beribu-ribu kanak-kanak telah terkorban," kata jurucakap agensi kanak-kanak PBB UNICEF James Elder kepada pemberita di Geneva.
Elder dalam pada itu tidak menolak jumlah kematian membabitkan kanak-kanak susulan tragedi itu akan terus bertambah.
PBB menganggarkan sehingga 5.3 juta orang di Syria mungkin kehilangan tempat tinggal susulan gempa bumi yang meranapkan lebih 5,000 bangunan termasuk tempat kediaman.
#Gempa bumi Turkiye #PBB #gempa bumi Syria #James Elder