Gempa Lombok: Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew maut

Astro Awani
Mac 17, 2019 13:27 MYT
Mangsa dilaporkan sedang bercuti bersama dengan anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok. - Foto ihsan Sin Chew Daily
Rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden gempa bumi di Lombok, Indonesia pada Ahad dikenali sebagai Datin Tai Siew Kim, 56 tahun.
Memetik laporan Bernama, perkara itu disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.
Mangsa merupakan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif sebuah akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan isteri kepada Ketua Pengarang China Press Datuk Teoh Yang Khoon.
Beliau dilaporkan sedang bercuti bersama dengan anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok.
Mereka juga berada di pulau tersebut sejak 14 Mac lalu dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur pada Isnin.
Anak lelaki mangsa yang berumur 20 tahun yang dilaporkan mengalami kecederaan, dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di pulau itu.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menerima laporan bahawa seorang warganegara Malaysia telah terkorban dalam insiden tanah runtuh pasca gempa bumi di situ.
BACA: Gempa Lombok: Seorang warga Malaysia disahkan maut di lokasi air terjun
BACA: Gempa Lombok: 22 warga Malaysia di lokasi air terjun antara terjejas, dua pelancong maut
Sementara itu, enam lagi warganegara Malaysia yang lain belum dapat dikesan dalam insiden gempa berskala 5.8 Richter di Nusa Tenggara Barat, Indonesia itu.
Jabatan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia melaporkan bahawa gempa itu disusuli dengan dengan satu lagi gegaran berukuran 5.2 pada skala Richter pada jam 2.09 petang.
#Datin Tai Siew Kim #earthquake in Lombok #gempa bumi di Lombok #gempa di Lombok #Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia #Ketua Pengarang China Press #Teoh Yang Khoon #Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif #Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew