Pasukan penyelamat berkejar dengan waktu pada Rabu (13 Mei) untuk menyelamatkan mereka yang masih hidup selepas kejadian gempa bumi terbaharu di Nepal.

Bencana gempa berkenaan telah mencetuskan kejadian tanah runtuh dan juga kemusnahan bangunan serta menyebabkan ribuan orang kini dalam keadaan trauma.

Mereka bermalam di ruang terbuka di luar rumah dan takut untuk kembali ke kediaman masing-masing.

Gegaran dengan kekuatan 7.3 magnitud itu berlaku kurang tiga minggu negara itu dikejutkan dengan sebuah kejadian gempa yang terbesar dalam tempoh lebih 80 tahun.

Sementara itu, ratusan anggota penyelamat turut mencari sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) yang hilang.

Setakat ini, jumlah yang maut sudah melebihi 8,200 orang dan lebih ramai lagi hilang tempat berteduh dan kekurangan bekalan makanan dan air bersih.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberitahu, pihaknya berdepan cabaran besar untuk membawa bantuan kepada mangsa yang kebanyakannya tinggal di kawasan yang hanya dapat diakses menggunakan helikopter.

Tambahan pula, musim monsun bakal tiba.


TIADA HARAPAN

Tentera Nepal telah melancarkan pencarian besar-besaran di darat dan juga udara untuk mencari sebuah helikopter milik tentera laut AS yang hilang sejak Selasa lalu di kawasan pergunungan di wilayah Dolakha.

Jurucakap Jagdish Pokharel berkata pihak tentera akan terus mencari sehingga mereka menemui helikopter berkenaan yang membawa enam anggota tentera laut AS dan dua tentera Nepal.

Dalam pada itu, pihak polis mengesahkan 76 lagi kematian sementara lebih daripada 2,000 orang cedera dalam kejadian gempa terbaru itu yang berpusat di 76 kilometer di timur Kathmandu.

“Kami memberi tumpuan terhadap usaha memberi bantuan, namun sejak semalam sumber kami digunakan untuk operasi menyelamat,” ujar jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal Laxmi Prasad Dhakal.

Dolakha dan Sindhupalchowk, dua wilayah paling teruk menerima kesan gempa. Ramai mangsa yang cedera merupakan warga tua yang kini dirawat di hospital kendalian Palang Merah.

“Penduduk sudah tiada harapan. Kami tahu sebuah lagi gegaran akan menyusul,” ujar Ripunath, seorang pemilik kedai di Chautara berusia 62 tahun.

Gegaran gempa terbaru itu dirasai sejauh New Delhi, India dan meruntuhkan bangunan di Tibet, China.


MAUT SKALA BESAR

Terdapat juga beberapa laporan kejadian tanah runtuh yang menghalang jalan-jalan utama hinggakan menyukarkan usaha menghantar bantuan.

Ramai penduduk di Kathmandu mula kembali ke kediaman masing-masing selepas berminggu-minggu tidur di luar.

Namun selepas gempa pada Selasa lalu, sekali lagi mereka beramai-ramai tidur di dalam khemah bantuan.

“Gempa semalam mengejutkan kami. Saya tidak dapat membayangkan untuk tidur di rumah bersama anak-anak.

“Namun kami juga tidak dapat tidur di dalam khemah. Gegaran ini dirasai sepanjang malam. Anak-anak saya ketakutan. Entah apa yang bakal terjadi selepas ini?” ujar seorang ibu beranak dua Kabita Maharjan, 38.