SURABAYA: Apalah perasaan ibu ini hingga sanggup bertindak luar kawalan hanya kerana anaknya tidak sengaja buang air besar dalam seluar, sehingga meninggal dunia.

Kes yang berlaku di Surabaya itu melibatkan kanak-kanak berusia empat tahun, didera oleh ibu kandungnya yang dikenali sebagai AS berusia 24 tahun tanpa rasa kasihan.

Menurut polis, selepas memukul anaknya hingga meninggal dunia, suspek panik dan pergi ke rumah adik iparnya untuk memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia akibat terjatuh.

Adik iparnya memberitahu, terdapat kesan luka pada badan mangsa dan mempercayai kanak-kanak itu meninggal dunia akibat terjatuh.

“Namun, keadaan berubah apabila nenek mangsa tidak dapat menerima keadaan jenazah cucunya yang disifatkan ‘sangat teruk dan penuh kesan luka’.

“Hal ini kerana, mangsa dijaga neneknya sejak berusia tiga bulan sehinggalah dia diserahkan kembali kepada ibu kandungnya baru-baru ini,” kata polis.

Nenek mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan hasil bedah siasat mengesahkan kanak-kanak malang itu mati akibat didera.

Polis juga memberitahu, mangsa meninggal dunia akibat pendarahan otak selepas ibunya menghantukkan kepalanya ke dinding.

Ketika disoal siasat, suspek mengakui kesalahannya dan memaklumkan dia hilang sabar dengan anaknya kerana kanak-kanak itu degil dan sukar memahami arahan.


*Berita asal di Pa&Ma