ACCRA: Ghana mengesahkan dua kes pertama virus Marburg yang boleh membawa maut.

Difahamkan kedua-dua pesakit itu meninggal dunia baru-baru ini di sebuah hospital di wilayah Ashanti selatan, lapor BBC.

Sampel daripada kedua-dua pesakit didapati positif awal bulan ini.

Pegawai kesihatan di negara Afrika Barat itu berkata 98 ​​individu kini dikuarantin kerana disyaki menjadi kontak kepada pesakit.

Virus yang amat mudah berjangkit itu dikatakan daripada keluarga sama dengan virus penyebab Ebola.

Difahamkan belum ada rawatan khusus untuk Marburg, tetapi para doktor berkata peluang pesakit untuk terus hidup meningkat jika minum banyak air.

Virus ini dikatakan tersebar kepada manusia daripada kelawar buah dan merebak dalam kalangan manusia melalui cecair tubuh.

Antara simptom jangkitan termasuk sakit kepala, demam, sakit otot, muntah darah, dan pendarahan.

Orang ramai dinasihat supaya menjauhi kawasan gua dan memasak semua produk daging sebelum dimakan.

Wabak Marburg pertama kali berlaku di Jerman pada tahun 1967 di mana tujuh mangsa meninggal dunia.

Virus itu membunuh lebih 200 orang di Angola pada tahun 2005.