Halang kanak-kanak naik pesawat, Air Canada kemuka permohonan maaf

Reuters
April 18, 2017 02:15 MYT
Keluarga Doyle hanya menerima permohonan maaf Sabtu lalu selepas kisah mereka disiarkan oleh sebuah akhbar di Kanada.
Syarikat penerbangan Air Canada telah meminta maaf dan membayar ganti rugi selepas tidak membenarkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menaiki pesawat, ketika kanak-kanak itu dan keluarganya dalam perjalanan dari Prince Edward Island ke Montreal.
Hal itu disahkan bapa kanak-kanak itu, Brett Doyle, yang memaklumkan mereka terkejut dengan tindakan syarikat penerbangan itu.
Selepas berjam-jam bercakap dengan pihak syarikat Air Canada, Doyle diberitahu bahawa pesawat itu terlebih menjual tempat duduk dan tempahan untuk anaknya terpaksa dinafikan.
"Kami hanya dapat tahu yang tiket anak kami dibatalkan selepas tiba di lapangan terbang.
"Pada mulanya saya beranggapan ia satu jenaka, yang gelagat kami dirakam oleh kamera tersembunyi," kata Doyle kepada Reuters.
Biarpun kejadian itu berlaku Mac lalu, namun keluarga itu hanya menerima permohonan maaf Sabtu lalu selepas kisah mereka disiarkan oleh sebuah akhbar di Kanada.
Seorang jurucakap syarikat penerbangan itu memberitahu Canadian Press, pihak mereka sedang menyiasat punca kejadian tersebut.
Doyle berkata, dia faham mengapa masyarakat tidak senang dan mengkritik insiden seorang penumpang diheret keluar dari pesawat United Airlines beberapa minggu lalu, yang tular di media sosial.
"Orang ramai sudah bosan. Situasi terlebih tempahan tidak sepatutnya berlaku.
"Tapi kami agak beruntung. Sekurang-kurangnya kami tidak diheret keluar dari pesawat," katanya.
#Air Canada #Kanak-kanak #penerbangan #pesawat