Hamas dan Fatah bersedia menghapuskan sebarang pertikaian antara mereka demi membebaskan Palestin.

Dua kumpulan bertelagah itu merancang untuk memulakan rundingan bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan dalam beberapa minggu akan datang.

Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat yang diadakan di Semenanjung Gaza.

Ia dibuat selepas rundingan damai antara Presiden Mahmoud Abbas dan Israel menemui kegagalan.

Melalui rundingan terbaru ini, Hamas dan Fatah bercadang membentuk sebuah kerajaan sementara dalam tempoh lima minggu.

Mereka juga bercadang mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 6 minggu bagi memberi undi percaya kepada parlimen Palestin.

Hamas dan Fatah sebelum ini membuat beberapa rundingan damai sejak kedua-dua parti itu memutuskan hubungan antara mereka pada 2007.

Bagaimanapun persetujuan yang dicapai tidak dilaksanakan.

Sementara itu, sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat melalui Jabatan Negara menyuarakan kekecewaan dan kebimbangan terhadap pengumuman penyatuan Hamas dan Fatah.

Hamas kini menguasai Semenanjung Gaza sementara Fatah merupakan pentadbir Tebing Barat dan kerajaan sah yang diiktiraf barat.