MAKKAH: Seramai 29 orang atau hanya 0.2 peratus daripada 13,000 jemaah haji yang tiba di Tanah Suci ketika ini berada di pusat rawatan Tabung Haji (TH), dengan 11 daripadanya dirawat akibat radang paru-paru disebabkan keadaan cuaca yang panas dan berdebu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata tujuh daripadanya menerima rawatan di Makkah dan empat lagi di Madinah akibat radang paru-paru, manakala selebihnya dirawat ekoran masalah seperti penyakit jantung dan terjatuh.

Beliau berkata dari segi kadar penggunaan katil di pusat rawatan di Makkah dan Madinah, hanya 11 peratus digunakan dengan empat peratus melibatkan pesakit radang paru-paru.

"Kesemua mereka dalam keadaan stabil dan memadai dengan rawatan mengambil antibiotik, jadi ini bukan satu perkara yang kita perlu gusar atau memberi penekanan yang lebih daripada biasa, kerana ini dikawal dengan baik oleh pihak perubatan kita.

"Pesakit juga dalam keadaan stabil, baik dan tidak memerlukan rawatan yang lebih lanjut," katanya selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama 279 jemaah haji yang tiba di maktab penginapan di Al Fajer Al Badia di sini melalui Terminal Haji Jeddah, Arab Saudi.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp mengenai ramai jemaah haji memenuhi wad di pusat rawatan disebabkan pneumonia dengan hampir kesemua mereka tidak mengambil vaksin Pneumococcal dan Influenza.

Ditanya sama ada jemaah haji yang dirawat akibat radang paru paru berkenaan tidak mengambil kedua-dua vaksin berkenaan, Syed Saleh berkata perkara itu masih diteliti, namun pemeriksaan rambang terhadap buku rekod rawatan jemaah haji mendapati terdapat jemaah yang mengambilnya.

Jelasnya bakal haji digalakkan mengambil kedua-dua vaksin berkenaan sebagai tambahan kepada vaksin Meningococcal yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Kita lihat kepada apa yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, kita sentiasa mempunyai perbincangan ke arah itu (mewajibkan vaksin Pneumococcal dan Influenza) tetapi buat ketika ini masih di peringkat hanya mewajibkan Meningococcal," katanya.

Menurutnya setiap tahun, TH memberikan perhatian serius kepada penyakit radang paru-paru dengan menempatkan pakar respiratori dan ubat-ubatan berkaitan di pusat rawatan, selain mengadakan sesi penerangan berhubung penjagaan kesihatan kepada bakal haji ketika hadir kursus-kursus haji di tanah air.

Syed Saleh seterusnya memaklumkan tiga jemaah haji Malaysia berada di fasiliti kesihatan Arab Saudi kerana masalah jantung, jangkitan paru-paru serta kulit, dan mereka berada dalam keadaan stabil.

-- BERNAMA