NEW YORK: Warga New York kini perlu menunjukkan bukti telah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos sekiranya ingin memasuki premis tertutup.

Langkah ini bertujuan menghalang mereka yang tidak divaksin daripada memasuki kawasan awam dan mengekang penularan COVID-19.

Pengumuman Datuk Bandar Bill de Blasio dua minggu lalu membenarkan mereka yang telah divaksin untuk mendapatkan kemudahan bandar seperti restoran, bar, gim, pertunjukan awam, muzium dan tempat-tempat lain.

Langkah-langkah itu juga penuh dengan komplikasi, kerana ini menyebabkan pelayan restoran, pelayan bar dan agen tiket menjadi penguat kuasa utama untuk peraturan vaksinasi.

Takut akan kehilangan perniagaan dan terhimpit dengan kemelesetan ekonomi menyebabkan pemilik-pemilik restoran dan bar tegas mengawal virus di pintu masuk mereka.

Sejak Ogos lalu, lebih dari 300,000 orang telah mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin, menurut data bandar itu.

Sekurang-kurangnya 5.2 daripada 8.8 juta penduduk di New York telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan hampir 5 juta telah terima dos lengkap.

Sejak New Nork membuat pengumuman itu, San Francisco dan New Orleans dilihat mengikut langkah yang sama dengan menghalang mereka yang tidak divaksinasi daripada beberapa perniagaan.

Los Angeles sedang mempertimbangkan langkah serupa.

Peraturan baharu New York berkuat kuasa pada Selasa, dan perniagaan yang tidak mematuhi syarat itu akan didenda bermula 13 September.