"HUJAN emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri."

Peribahasa ini sering digunakan oleh mereka yang telah lama berpetualang ke negara lain.

Bagi pengarah filem dan drama, Shahrul Nizam Shahruddin, 48, yang telah meninggalkan negara asalnya selama 23 tahun, Singapura tetap di hati.

Rindu ibu adalah perkara yang semestinya dialami, ujar Shahrul atau lebih dikenali sebagai Bromo, tetapi rindu masakan membuatkan dia sering mahu pulang ke Singapura.

"Pertamanya saya rindu kueh lopes dia, makananlah, rindu keluarga itu kita tak perlu pertikaikan sebab keluarga memang kita rindu setiap hari.

"Tetapi ada yang lain kita rindu iaitu makanan waktu kecil, kita punya kueh lopes, kita punya mee rebus, kita punya mee siam.

"Itu kerinduannya, yang peliknya kita akan rindu makanan," katanya kepada Astro AWANI.

Biarpun telah lama mengembara di bumi orang, tetapi Shahrul tetap mempunyai harapan tinggi terhadap negara asalnya Singapura.

Sebagai seorang pengarah filem dan drama, Shahrul berharap orang Melayu di Singapura lebih maju dalam bidang seni dan media.

"Harapan saya adalah untuk bangsa Melayu saya kat sana akan lebih aktif, akan lebih minat dalam bidang perfileman.

"Untuk nak ubahkan sesuatu untuk orang Melayu lagi maju di Singapura tu melalui media saja kita boleh belajar banyak perkara.

"Jadi untuk belajar semua benda kita perlu faham dan ikut sama, jadi saya harap orang Melayu kita akan lebih maju dalam bahagian hiburan dan bahagian media," katanya lagi.

Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-54 hari ini selepas keluar dari Malaysia pada 1965.