Harvard pelik Indonesia tiada kes COVID-19, Jakarta anggap sebagai penghinaan

Astro Awani
Februari 12, 2020 12:20 MYT
Indonesia mempertahankan negaranya mempunyai kelengkapan untuk mengesan COVID-19. - Gambar hiasan Astro AWANI / Shahir Omar
INDONESIA mengkritik kajian Universiti Harvard yang mempersoalkan ketiadaan kes COVID-19 di negara paling ramai di Asia Tenggara itu.
Kajian itu mempersoalkan ketiadaan kes COVID-19 di republik berkenaan walaupun negara berkenaan mempunyai laluan penerbangan yang luas ke China, termasuk ke Wuhan, lokasi tercetusnya wabak berkenaan.
"(Kajian) ini satu penghinaan!" tegas Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto.
Malah beliau mempertahankan negaranya mempunyai kelengkapan untuk mengesan COVID-19.
"Mereka boleh terus tertanya-tanya, tetapi inilah fakta.
"Kita berharap virus ini tidak sampai ke Indonesia dan kita akan terus berdoa, tetapi kita akan berwaspada ke tahap tertinggi," kata Terawan
BACA: COVID-19: Tiga lagi kes positif di Singapura
BACA: Kes disahkan koronavirus di Thailand bertambah satu lagi, jumlahnya terkini 33
BACA: Pelancong Kanada antara tujuh suspek baharu kes koronavirus di Sarawak
Kajian oleh Universiti Harvard itu juga mencadangkan agar pihak berkuasa Indonesia segera meningkatkan usaha pemantauan bagi mengesan virus berkenaan.
Indonesia merupakan antara lokasi tumpuan pelancong China dengan sekurang-kurangnya dua juta pelancong direkodkan dari negara berkenaan saban tahun.
#2019-nCoV #Asia #China #coronavirus #COVID-19 #Indonesia #Jakarta #kesihatan #koronavirus #menteri #pelancong #penerbangan #virus