WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersetuju menjual pelbagai senjata bernilai AS$1.1 bilion kepada Taiwan.

Persetujuan itu, yang bakal mengundang kemarahan China, termasuk sistem radar bagi memintas sebarang serangan ke negara itu serta peluru berpandu antikapal dan antiudara.

Pengumuman itu susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi yang merupakan pegawai tertinggi Amerika Syarikat pertama mengunjungi Taipei dalam 25 tahun, bulan lalu.

Kedutaan China di Washington menggesa AS menarik balik tawaran itu atau berdepan "tindakan balas".

Jurucakap Liu Pengyu berkata, persetujuan itu bakal "membahayakan" hubungan di antara Washington dan Beijing.

"China bertegas akan mengambil apa-apa tindakan secara sah dan perlu dengan perkembangan terbaharu ini," tambahnya.

Beijing melihat Taiwan, pulau yang ditadbir sendiri, sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan menegaskan ia harus disatukan dengan tanah besar, jika perlu dengan kekerasan.

China melancarkan latihan ketenteraan di kawasan sekitar Taiwan susulan lawatan delegasi Amerika Syarikat itu.

Persetujuan penjualan senjata AS masih perlu menjalani undian oleh Kongres.

Pakej berkenaan termasuk sistem amaran radar bernilai AS$655 juta dan 60 peluru berpandu Harpoon bernilai AS$355 juta yang mampu menenggelamkan kapal tentera.