EMPAT penumpang terbunuh, manakala tiga lagi cedera parah dalam nahas dua buah helikopter bertembung di Gold Coast, Selatan Brisbane, Australia pada Isnin.

Menurut laporan agensi antarabangsa, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang waktu tempatan di lokasi pelancongan itu.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua helikopter berkenaan bertembung sesama sendiri, sebelum terhempas di beting pasir tidak jauh dari pantai Sea World Resort.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira 13 penumpang menaiki kedua-dua buah helikopter berkenaan.

Enam penumpang lain mengalami kecederaan ringan termasuk luka akibat terkena serpihan kaca dan telah dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Angus Mitchell, kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu.

Pegawai penyiasat ATSB dari Brisbane dan Canberra telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan terperinci.

Laporan awal hasil siasatan dijangka dikeluarkan dalam tempoh enam hingga lapan minggu lagi.