Helikopter 'runtuhkan' bumbung parti kanak-kanak, 8 cedera

Faida Rahim
Januari 17, 2023 05:19 MYT
Kejadian berlaku ketika helikopter tentera laut terbang rendah untuk menabur bunga dan gula-gula pada acara sempena Hari Kanak-Kanak Kebangsaan. -Gambar hiasan/Pixabay
BANGKOK: Lapan termasuk lima kanak-kanak dilaporkan cedera selepas sebuah helikopter yang terbang di sebuah parti kanak-kanak telah menyebabkan bumbung stadium runtuh.
Memetik laporan Mail Online, kejadian di Thailand itu berlaku ketika helikopter tentera laut terbang rendah untuk menabur bunga dan gula-gula kepada kanak-kanak pada acara sempena Hari Kanak-Kanak Kebangsaan.
Situasi bertukar huru-hara selepas kehadiran helikopter itu telah 'meratakan' kanopi serta menyebabkan bumbung berangka diperbuat daripada keluli dan kanvas runtuh.
Menurut media tempatan Thailand, salah seorang mangsa, Nareerat Khumkana, 58, dibawa ke Hospital Prapokklao di tenggara Thailand selepas mengalami kecederaan pada leher serta luka di kepala.
Datuk Bandar Tha Chang, Tawatchai Chantakit memaklumkan dalam sidang media bahawa pihak perbandaran akan memberi pampasan sepenuhnya kepada mangsa yang cedera.
Dalam pada itu, jurucakap tentera laut menyampaikan permohonan maaf bagi pihak panglima tentera laut, Laksamana Choengchai Chomchoengpaet yang mengarahkan pengagihan bantuan kewangan dan perubatan.
Tha Chang ialah sebuah perbandaran di daerah Tha Muang di wilayah Chanthaburi di tenggara Thailand, kira-kira 150 batu di timur Bangkok yang bersempadan dengan Kemboja.
Difahamkan, dua mangsa dewasa serta lima kanak-kanak yang dirawat di hospital dibenarkan keluar tidak lama selepas itu.
Pada 2017, sebuah jet pejuang Jas 39 terhempas semasa pertunjukan udara pada acara Hari Kanak-Kanak di wilayah Songkhla, di selatan Thailand.
Dalam kejadian itu, Ketua Skuadron Dilokrit Pattavee terbunuh apabila jet yang dipandu terhempas di landasan semasa pertunjukan.
#Thailand #Kanak-kanak #Tawatchai Chantakit #Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Thailand