BERLIN: Jerman harus berhenti menggunakan gas untuk menjana tenaga elektrik bagi mengelak daripada menambah krisis tenaga, kata Menteri Kewangan Christian Lindner pada Ahad, lapor Sputnik.

"Kita mesti berusaha untuk memastikan krisis gas tidak membawa kepada krisis penjanaan elektrik. Oleh itu, tenaga elektrik tidak seharusnya lagi dihasilkan menggunakan gas. (Menteri Ekonomi) Robert Habeck mempunyai kuasa untuk melarangnya.

"Sebaliknya kita mesti mengekalkan keupayaan lain. Terdapat banyak alasan untuk tidak menutup loji tenaga nuklear (NPP) yang selamat dan mampan dan menggunakannya jika perlu sehingga 2024," kata Lindner kepada akhbar Bild am Sonntag.

Pada masa ini terdapat tiga loji tenaga nuklear yang berfungsi di Jerman dan ia dirancang untuk ditutup pada 31 Disember. Jerman memperhebat perbahasan mengenai kemungkinan melanjutkan penggunaan NPP ekoran krisis gas yang sedang berlaku.

Ketika ini, pihak berkuasa sedang menjalankan analisis teknikal keadaan sebelum membuat keputusan muktamad. Sekurang-kurangnya satu daripada NPP akan terus beroperasi, menurut media Jerman.

Awal bulan ini, kerajaan Jerman menerima pakai undang-undang yang membenarkan pengaktifan semula loji janakuasa arang batu yang sebelum ini dihentikan untuk tujuan perlindungan iklim. Ia sebahagian daripada cara untuk menangani krisis tenaga dan rancangan untuk menamatkan penggunaan gas dari Rusia.

-- BERNAMA