Penduduk Hong Kong kini banyak berada di dalam rumah berikutan dilanda suhu paling sejuk dalam tempoh 60 tahun pada Ahad.

Di bandar raya yang rakyatnya sudah terbiasa dengan iklim sub-tropika itu, kini semakin jelas menyaksikan litupan fros di puncak-pincak gunung yang melatarinya.

Agensi kaji cuaca Hong Kong telah mengeluarkan amaran tentang ancaman fros yang tinggi selain tiupan monsun yang sangat sejuk.

Suhu pada waktu pagi jatuh kepada 3.3 darjah Celsius di kawasan urban di bandar raya tersebut.

Lebih membimbangkan, hampir kesemua bangunan di kawasan itu tidak meiliki sistem pemanas pusat, dan di tempat yang lebih tinggi, suhu telah jatuh di bawah paras beku.

“Ini merupakan hari yang paling sejuk dalam tempoh 59 tahun. Bacaan minimum harian jatuh kepada 3.3 darjah Celsius. Sebelum ini pada Februari 1957, suhunya adalah 2.4 darjah Celsius,” ujar pegawai saintifik kanan agensi tersebut, Wong-Wai-Kin.

Notis amaran umum di Hong Kong menyatakan: “Hong Kong kini sangat sejuk dan berangin. Orang ramai dinasihatkan agar memakai pakaian panas dan mengelak daripada terdedah terlalu lama kepada tiupan angin”.