Kes tembakan di Kashmir terus menjadikan hubungan Pakistan-India tegang.

Dalam kes terbaru, tentera Pakistan menuduh tentera India menembak mati seorang askarnya.

Ia kematian ketiga membabitkan insiden tembakan di sempadan antara kedua-dua negara di wilayah bergolak Kashmir.

Tentera Pakistan berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Havildar Mohyuddin.

Dia terbunuh selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh tentera India di Battal pada malam Khamis.

Menurut tentera Pakistan lagi, tentera India sengaja melakukan tindakan provokasi dengan melepaskan tembakan ke arah pos tentera Pakistan, Kundi sekali gus menyebabkan tenteranya terbunuh.

Kematian terbaru di Kashmir itu segera mendapat reaksi India.

Di Paris, Menteri Dalam Negeri, Shri Salman Khursid berkata konflik terbaru di sempadan itu tidak boleh dibenarkan memburuk kerana ia mengganggu proses damai kedua-dua negara.

Pergolakan terbaru di Kashmir itu dilihat mengancam kemajuan hubungan baik India-Pakistan.

Walaupun Pakistan dan India berjaya memperbaiki hubungan diplomatic, isu Kashmir tidak pernah selesai.

Kedua-dua seteru kuasa nuklear Asia Selatan itu pernah berperang tiga kali sejak merdeka dari British berhubung Kashmir.