Hujan lebat landa wilayah Mekah

Hujan lebat mengakibatkan sesetengah kawasan dinaiki air. - Foto Sinar Harian/Agensi
MEKAH: Hujan lebat yang melanda wilayah Mekah pada Rabu menyebabkan beberapa kawasan di bahagian selatan ditenggelami air, sekali gus mengakibatkan gangguan lalu lintas dan amaran cuaca merah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Ringkasan AI
- Hujan lebat di Mekah menyebabkan kawasan selatan ditenggelami air, mengakibatkan gangguan lalu lintas dan amaran cuaca merah dikeluarkan.
- Pusat Meteorologi Negara (NCM) menyatakan hujan berterusan dengan risiko banjir kilat hingga larut malam, sementara kawasan tengah Mekah hanya mengalami angin kuat.
- Jurucakap NCM menggesa kehati-hatian penduduk atas ramalan hujan sederhana hingga lebat hingga Isnin, turut disertai amaran tentang ribut petir.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan kenderaan meredah jalan yang dinaiki air di beberapa daerah selatan seperti Difa‘q, yang dilanda ribut kuat selama dua hari berturut-turut.
“Dengan izin Allah, sebahagian besar wilayah Arab Saudi akan mengalami hujan sederhana hingga lebat bermula Jumaat hingga Isnin,” kata jurucakap NCM, Hussein Al-Qahtani dalam kenyataan di platform X.
Beliau turut menggesa orang ramai agar berhati-hati dan mengelak kawasan rendah.
Pihak berkuasa Pusat Krisis dan Pengurusan Bencana Emirat Mekah turut menasihati penduduk serta pengguna jalan raya supaya menjauhi lembah, terowong dan kawasan takungan air.
“Hujan ribut petir dijangka berterusan antara Jumaat hingga Isnin. Penduduk diingatkan untuk berwaspada dan mematuhi arahan rasmi,” jelas Hussein.
Dalam pada itu, Raja Salman mengarahkan pelaksanaan solat Istisqa’ (solat memohon hujan) di seluruh negara pada Khamis, 13 November, sejajar dengan sunnah Nabi Muhammad SAW ketika berlakunya musim kemarau.
Ramalan cuaca juga menunjukkan hujan dijangka turun di kebanyakan wilayah termasuk Madinah, Riyadh, Asir, Al-Baha, Jazan, Qassim, Hail, Tabuk, Al-Jouf, Wilayah Sempadan Utara serta sebahagian kawasan Timur Arab Saudi sehingga 17 November.
Fenomena cuaca tidak menentu itu turut memberi kesan kepada beberapa negara sekitar lain seperti Mesir, Iraq, Jordan, Syria, Lubnan, Palestin dan Kuwait, dengan potensi hujan lebat dan banjir di kawasan lembah. – Sinar Harian memetik agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


