VIENNA: Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi pada Jumaat berkata dua pakarnya akan kekal berada di loji tenaga nuklear Zaporizhzhia di Ukraine, lapor Xinhua.

Grossi memberitahu pemberita selepas melawat tapak kemudahan itu bersama 14 anggota misi IAEA pada Khamis.

Seramai enam daripada 14 pakar IAEA akan terus berada di loji Zaporizhzhia selepas sesi lawatan itu.

Empat daripada enam pakar akan meninggalkan loji itu pada minggu depan, manakala dua lagi kekal di sana untuk tempoh masa yang panjang.

Awal minggu ini, Grossi mengetuai misi IAEA ke loji Zaporizhzhia, yang berdepan pelbagai serangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini hingga menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

Ketua badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu berkata: "kami telah melihat aktiviti ketenteraan di sekitar loji, dan saya dan pasukan dapat melihat kesan pada bangunan akibat serangan."

Laporan mengenai situasi di loji Zaporizhzhia dijangka dikeluarkan awal minggu depan, katanya.

Beliau juga akan memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai isu itu Selasa depan.

Loji Zaporizhzhia, antara loji tenaga nuklear terbesar di Eropah, telah dikuasai tentera Rusia sejak awal Mac, tetapi kakitangan Ukraine masih mengendalikannya.

Ukraine dan Rusia saling menuding jari berhubung serangan terhadap kemudahan nuklear itu.

-- BERNAMA