HANOI: Kualiti udara di ibu negara Vietnam Hanoi mencapai tahap tidak sihat secara menyeluruh pada Selasa, sekali gus meletakkan orang awam dalam risiko berhadapan kesan penafasan yang teruk.

Stesen pemantauan udara di Hanoi melaporkan Indeks Kualiti Udara (AQI) pada tahap merah (AQI 151-200, "tidak sihat"), dengan beberapa kawasan mencatat warna ungu (AQI 201-300, "sangat tidak sihat") setakat pagi Selasa, lapor Xinhua.

Pencemaran udara teruk di bandar itu dijangkakan berlaku sehingga hujung minggu ini, menyebabkan sebahagian besar bandar itu diselubungi asap, lapor akhbar tempatan Vietnam News.

Kualiti udara biasanya menurun antara Oktober dan Mac selama antara dua dan 14 hari pada satu-satu masa, akhbar itu memetik Ha Thanh Huong, pengurus projek PAM Air, rangkaian kualiti udara persendirian di Vietnam.

Menurut pakar alam sekitar, pencemaran udara di Hanoi ada kaitan dengan keadaan meteorologi. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, suhu menyongsang yang seterusnya menyebabkan bahan cemar lalu lintas, pembinaan, pengeluaran perindustrian, perkampungan kraf dan aktiviti kehidupan harian, termendap di udara berhampiran tanah, yang menyebabkan pencemaran udara.

-- BERNAMA