SEORANG ibu telah memecahkan rekod dengan melahirkan seorang bayi seberat 6.3 kilogram di Hospital Sunshine di Melbourne, Australia.

Wanita yang dikenali sebagai Teu itu sudah menjangkakan yang dia akan melahirkan seorang bayi yang besar tetapi tidak menyangka bayi lelaki tersebut sebesar ini.

Lebih mengujakan, bayi itu dilahirkan seminggu awal melalui pembedahan ekoran saiznya yang terlalu besar.

Teu berasa sangat gembira kerana bayi lelakinya itu lahir dalam keadaan baik dan sempurna.

"Bukan saiz yang menjadi ukuran apa yang penting dia (bayi) dilahirkan dalam keadaan sihat dan gembira," katanya menurut laporan portal The Sun UK.

Namun begitu, bayi yang diberi nama Maoama Ala itu dipakaikan baju bayi yang berusia enam bulan sejak dilahirkan kerana tidak muat untuk memakai mana-mana baju yang dibelinya.

Maoama ialah anak keempat dan merupakan bayi terberat yang pernah dilahirkan Teu berbanding adik-beradik yang lain. Saiznya yang besar itu hampir menyamai dua kali berat saiz bayi biasa.