NEW YORK: Seorang imam di New Jersey, Amerika Syarikat ditikam ketika mengimamkan solat subuh pada Ahad.

Imam Masjid Omar di Paterson, Sayed El-Nakib, 65, ditikam oleh seorang lelaki ketika beliau dan jemaah lain sedang sujud, lapor Agensi Anadolu.

Perbuatan penyerang yang dikenali sebagai Serif Zorba, 32, dirakam kamera keselamatan masjid ketika dia meluru keluar dari saf melewati jemaah lain dan menikam imam itu menggunakan pisau.

Zorba berjaya ditangkap jemaah lain dan diserahkan kepada polis.

Dia juga didakwa mengugut orang ramai yang cuba menahannya.

El-Nakib yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Saint Joseph.

"Zorba didakwa atas Percubaan Membunuh Darjah Pertama; Memiliki Senjata untuk Tujuan Haram Darjah Ketiga; dan Pemilikan Senjata Melanggar Undang-undang Darjah Keempat," menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Daerah Passaic.

Penyerang mendakwa dia berasal dari Istanbul dan berkomunikasi melalui bantuan penterjemah Turki ketika dihadapkan ke mahkamah.

Motif kejadian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA