IMF lulus AS$890 juta pakej sokongan untuk Ukraine

Bernama
Jun 30, 2023 08:28 MYT
Program pinjaman - yang dikenali sebagai Kemudahan Dana Lanjutan telah diluluskan pada Mac dan merupakan sebahagian daripada pakej sokongan sebanyak US$115 bilion untuk Ukraine. - Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah meluluskan satu lagi suntikan tunai kepada Ukraine, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Lembaga eksekutif itu telah menyelesaikan semakan awal program bantuan berjumlah AS$15.6 bilion (EUR14.4 bilion), yang membolehkan Ukraine mendapat akses segera kepada kira-kira AS$890 juta, menurut IMF pada Jumaat.
Wang itu akan digunakan untuk menyokong bajet.
Program pinjaman - yang dikenali sebagai Kemudahan Dana Lanjutan telah diluluskan pada Mac dan merupakan sebahagian daripada pakej sokongan sebanyak AS$115 bilion untuk Ukraine.
IMF mengesahkan bahawa pihak berkuasa Ukraine telah mencapai "kemajuan besar dalam memenuhi komitmen mereka meski berdepan keadaan sukar".
-- BERNAMA
#IMF #akses segera #suntikan tunai #program bantuan