BANGKOK: Kadar kemiskinan multidimensi Thailand terus meningkat dan laporan terkini menunjukkan 176,000 orang keluar daripada kemiskinan, menurut analisis terbaharu Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Dalam satu kenyataan, UNDP memaklumkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) Thailand adalah 0.002, terendah berbanding negara-negara ASEAN lain yang termasuk dalam kajian ini.

Negara ASEAN itu termasuk Myanmar (0.176), Kemboja (0.170), Laos (0.108), Filipina (0.024), Vietnam (0.019), dan Indonesia (0.014).

Menurut UNDP, skor Thailand juga lebih rendah berbanding skor di rantau Asia Timur dan Pasifik (0.023).

"MPI Thailand telah meningkat sebelum COVID-19. Skor MPI semasa 0.002 berdasarkan tinjauan 2019, sementara pada 2015/2016 dan 2012 masing-masing mencatatkan indeks 0.003 dan 0.005.

"Tinjauan terbaru itu juga mendapati 176.000 orang keluar daripada kemiskinan kerana akses yang lebih baik kepada infrastruktur asas seperti sanitasi, air minum, elektrik dan perumahan.

"Namun, akses pendidikan, terutama tahun persekolahan dan akses pemakanan tetap masih kekurangan. Aspek ini memerlukan perhatian khusus kerana pandemik paling banyak menjejaskan golongan rentan," katanya.

MPI yang dikeluarkan UNDP dan Oxford Poverty and Human Development Initiative (OPHI) itu membabitkan 10 indikator merangkumi pendidikan, kesihatan dan taraf hidup, skor paling sedikit menunjukkan tahap kemiskinan paling rendah.

MPI 2021 merangkumi 109 negara membangun, didiami 5.9 bilion orang.

Laporan itu mendapati daripada 70 negara yang dikaji, meliputi kira-kira lima bilion orang, statistik menunjukkan penurunan signifikan bagi tahap kemiskinan multidimensi mereka sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua dekad sebelum COVID-19.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa 1.3 bilion orang - sekitar 92 peratus penduduk di negara membangun - masih miskin secara multidimensi.

Meskipun data lengkap mengenai kesan COVID-19 terhadap MPI belum tersedia, kenyataan itu menyatakan bahawa pandemik telah merosakkan sistem perlindungan sosial, pendidikan dan pekerja golongan rentan di seluruh dunia.

Menurut laporan itu, negara dengan tahap kemiskinan multidimensi pada tahap tertinggi adalah yang paling teruk terjejas.

Krisis COVID-19 di negara termiskin dunia dipandang remeh dan menyebabkan mereka di pinggirkan.

Pentadbir UNDP Achim Steiner berkata pandemik COVID-19 telah menghakis kemajuan pembangunan dunia.

-- BERNAMA