MUMBAI: Kerajaan India menerima kritikan dan kemarahan dari dalam dan luar negara selepas dua pegawai parti pemerintah BJP membuat kenyataan tentang Nabi Muhammad.

Kenyataan yang disifatkan menghina Islam itu mencetuskan protes dan rusuhan di bandar utara dan kemudian di Mumbai dengan 38 tangkapan setakat ini.

Dua pegawai dari Parti Nasionalis Hindu Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi membuat kenyataan yang telah menimbulkan kemarahan meluas dalam kalangan umat Islam di India dan luar negara.

Negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Oman, UAE, Afghanistan, Pakistan dan Iran menuntut permohonan maaf daripada India kerana membenarkan kenyataan menghina itu.

BACA: Negara-negara Islam kutuk kenyataan anti-Islam BJP, tuntut permohonan maaf

Pada hujung minggu, diplomat India yang ditempatkan di teluk dan negara-negara jiran Islam dipanggil oleh pegawai di negara tersebut untuk membantah komen oleh pegawai BJP.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dalam satu kenyataan, berkata, penghinaan ini datang dalam konteks peningkatan intensiti kebencian dan penghinaan terhadap Islam di India dan gangguan sistematik terhadap umat Islam.

Badan 57 ahli yang berpengaruh itu memetik keputusan untuk mengharamkan hijab di institusi pendidikan di beberapa negeri India dan pemusnahan harta benda orang Islam untuk menyerlahkan apa yang dikatakan sebagai tindakan berat sebelah kerajaan India.

Kementerian Luar India dalam satu kenyataan berkata Tweet dan komen yang menyinggung perasaan itu tidak menggambarkan pandangan kerajaan.

BJP menggantung seorang jurucakap dan memecat pegawai lain pada Ahad lalu kerana menyakiti sentimen agama masyarakat minoriti.

Umat Islam membentuk kira-kira 13 peratus daripada 1.35 bilion penduduk India.