MENTERI Alam Sekitar dan Perubahan Iklim India, Bhupender Yadav mengkritik draf perjanjian Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP26, pada Sabtu.

Beliau tidak bersetuju mengenai subsidi bahan api fosil dan menyatakan draf itu tidak seimbang.

Yadav berkata, negara membangun berhak menggunakan baki 'belanjawan karbon' global atau jumlah karbon dioksida yang boleh dikeluarkan oleh dunia sebelum pemanasan melepasi 1.5 darjah Celsius.

Menjelaskan kepada Presiden COP26 Britain, Alok Sharma, Yadav menyatakan konsensus berkenaan masih sukar difahami.

Beliau mempersoalkan, bagaimana semua pihak boleh menjangkakan negara membangun dapat membuat janji untuk menghapuskan subsidi arang batu dan bahan api fosil secara berperingkat apabila daerah membangun masih perlu menangani agenda pembangunan dan pembasmian kemiskinan mereka.

Yadav juga mengkritik apa yang disifatkannya sebagai "ketidakseimbangan" dalam perjanjian itu, hujah yang dibuat oleh negara membangun sebelum ini apabila mendesak lebih banyak wang untuk menyesuaikan negara mereka dengan lebih baik untuk menangani kesan perubahan iklim.

BACA: COP26: Perjanjian iklim dicapai satu langkah besar - Boris Johnson 

Isu subsidi untuk minyak, gas dan arang batu menjadi titik tolak utama pada sidang kemuncak itu apabila perundingan melepasi tarikh akhir pada Jumaat, untuk mencapai matlamat mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.

Terdahulu, draf baharu perjanjian yang dirundingkan sejak dua minggu lalu menggesa negara-negara untuk mempercepatkan "usaha ke arah penghapusan tenaga arang batu dan subsidi bahan api fosil yang tidak cekap."

Pada Jumaat, dua sumber yang rapat dengan rundingan itu berkata, China dan Arab Saudi adalah antara kumpulan negara yang berusaha menghalang perjanjian di Scotland daripada memasukkan bahasa yang menentang subsidi bahan api fosil.