JAKARTA: Indonesia akan mengimport dua juta tan beras menjelang akhir tahun ini bagi menghadapi kemarau yang dijangka berlaku akibat El Nino, kata Presiden Indonesia Joko Widodo pada Khamis.

Import beras adalah untuk stok simpanan Agensi Logistik Negeri selain untuk menstabilkan harga domestik memandangkan El Nino akan menyebabkan kemarau berpanjangan dan menjejaskan pengeluaran beras negara, kata Widodo, lapor Xinhua.

Ketua Agensi Makanan Negara Arief Prasetyo berkata import beras kumpulan pertama akan mencecah sehingga 500,000 tan dan dihantar secepat mungkin.

Hasil tuaian padi dari Mac hingga Mei menjadi keutamaan (untuk bekalan beras), tambah Prasetyo, namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk negara itu yang melebihi 270 juta.

Menurut Statistik Indonesia, negara Asia Tenggara itu mengimport kira-kira 400,000 tan beras pada 2021 dan 320,000 tan pada 2022.

-- BERNAMA