JAKARTA: Gabenor Kepulauan Riau Indonesia Ansar Ahmad berkata pelan 'gelembung perjalanan' dengan Singapura, yang pada awalnya dijadualkan pada Oktober 2021, dibatalkan berikutan lonjakan kes COVID-19 di negara pulau itu.

Agensi berita Antara yang memetik Ansar pada Rabu melaporkan, pentadbiran Kepulauan Riau berhasrat menarik kunjungan pelancong domestik ke wilayah itu sementara menantikan keputusan Jakarta untuk meneruskan skim gelembung perjalanan antara wilayah itu dan Singapura.

Pentadbiran Kepulauan Riau sebelum ini telah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri dan Badan Mitigasi Bencana Nasional, yang antara lain mengesyorkan kelonggaran terhadap syarat sijil ujian COVID-19 bagi membolehkan perjalanan antara wilayah.

Gabenor wilayah itu menambah, lokasi pelancongan di Kepulauan Riau telah dibuka kembali berikutan peningkatan tahap penguatkuasaan larangan aktiviti (PPKM) ke Tahap Satu.

Beliau memberi jaminan bahawa kawasan pelancongan tempatan telah melaksanakan protokol kesihatan ketat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelancong sekali gus untuk mencegah berlakunya kluster jangkitan COVID-19.

Pada 4 Oktober, kerajaan Indonesia memaklumkan bahawa pulau wisata Bali akan dibuka semula kepada pelancong dari enam negara, iaitu Korea, China, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan New Zealand, bermula 14 Oktober.

BACA: COVID-19: Singapura kesan lebih 3,000 kes baharu