INDONESIA memutuskan untuk tidak menghantar rakyatnya menunaikan ibadat haji di Tanah Suci pada tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Agama republik itu, Fachrul Razi berkata, keputusan itu dibuat ekoran pandemik COVID-19 yang melanda banyak negara termasuk Arab Saudi dan Indonesia.

Tambah beliau, keputusan itu juga dibuat susulan keputusan Arab Saudi yang masih lagi melarang kemasukan jemaah haji dari mana-mana negara sekali pun.

“Tidak mungkin pemerintah mempunyai cukup waktu untuk melakukan persiapan terutamanya dalam perjalanan dan perlindungan jemaah.

“Berdasarkan kenyataan tersebut, pemerintah memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji pada tahun 2020 atau 1441 Hijriah ini,” katanya melalui sidang video pada Selasa.

Tambah beliau, keputusan itu juga bersesuaian dengan syarat haji iaitu selain faktor ekonomi dan fizikal, seseorang harus memastikan kesihatan, keselamatan dan keamanan diri turut diutamakan.

Tegas Fachrul, keputusan tersebut terpakai untuk semua warga Indonesia, termasuk mereka yang menggunakan visa haji 'mujamalah' atau undangan atau 'furada', yang menggunakan visa khusus dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

"Jadi tahun ini tidak ada penghantaran jemaah haji dari Indonesia bagi seluruh warga rakyat negara ini," tegasnya.

Katanya lagi, keputusan itu cukup pahit dan sukar untuk dibuat namun terpaksa dilakukan selepas pelbagai kajian yang mendalam membabitkan pelbagai aspek.

“Keputusan yang pahit ini kita yakini adalah yang paling tepat dan paling maslahat bagi jemaah dan petugas kita semua," kata Fachrul.

Sebelum ini, wujud desakan daripada sesetengah pihak yang mahu Presiden Indonesia, Joko Widodo tidak menghantar jemaah haji ke Arab Saudi pada tahun ini.

Ia berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia malah turut memberi kesan kepada Indonesia.