JAKARTA: Indonesia melanjutkan tempoh kuarantin mandatori daripada tujuh hari kepada 10 hari untuk penggembara yang masuk ke negara itu berikutan kebimbangan terhadap varian Omicron.

Langkah yang disemak semula itu akan berkuatkuasa pada 3 Dis, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan, yang bertanggungjawab menguruskan pandemik COVID-19.

Dalam langkah berjaga-jaga yang lain, pegawai kerajaan dilarang melancong ke luar negara buat sementara waktu dan rakyat juga digesa untuk mengelak daripada melakukan perjalanan.

"Dasar ini tertakluk kepada perubahan semasa sementara kami cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai varian baharu ini," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa tiada kes varian Omicron yang dikesan di negara itu setakat ini.

Indonesia melaporkan 10 kematian dan 278 kes baharu pada Rabu, tetapi pertambahan dalam kes varian Omicron di beberapa negara menyebabkan kerajaan meningkatkan pengawasan sempadannya.

Omicron pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada 24 Nov dan tersebar menjadi varian dominan di sana. Strain baharu itu dikesan di 23 negara setakat ini, termasuk Amerika Syarikat, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

-- BERNAMA