JAKARTA: Kerajaan Indonesia menekankan keperluan untuk meneruskan projek perkhidmatan feri pengangkut kenderaan (RORO) yang menghubungkan Dumai di wilayah Riau dan Melaka, Malaysia.

Presiden Joko Widodo menjelaskan projek tersebut akan meningkatkan kesalinghubungan koridor ekonomi di bawah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu ini selaras dengan keutamaan Indonesia untuk membina kesalinghubungan fizikal seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jalan tol termasuk Trans-Sumatera yang merentasi Pulau Sumatera.

Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai Jokowi mengumumkan perkara itu di luar Sidang Kemuncak ASEAN yang diadakan semasa Sidang Kemuncak IMT-GT ke-14 di Phnom Penh, Kemboja semalam.

Wilayah Riau dan kerajaan Melaka dilaporkan akan membuka semula perbincangan mengenai kesinambungan projek feri RORO Dumai-Malacca selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Gabenor Riau, H. Syamsuar serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengadakan perbincangan itu pada Mei tahun ini.

Jokowi berkata usaha mempercepatkan kesalinghubungan fizikal akan membantu pertumbuhan serta visi ekonomi subrantau itu untuk menjadi subrantau bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan menjelang 2036.

Sektor pelancongan juga perlu dihidupkan semula melalui pemasaran digital, pembangunan pelancongan lestari dan pelancaran inisiatif Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025.

Katanya lagi, walaupun pelancongan halal terus dibangunkan, subrantau perlu mengenal pasti peluang ekonomi hijau yang tepat bagi mencapai pembangunan tenaga lestari, seperti yang dinyatakan dalam Rangka Kerja Pembangunan Bandar Hijau 2019-2036.

-- BERNAMA