JAKARTA: Indonesia menaikkan harga bahan api bersubsidi kira-kira 30 peratus pada Sabtu.

Kerajaan Indonesia berusaha untuk mengekang kos subsidi yang melonjak walaupun berdepan risiko bantahan besar-besaran.

Menteri Tenaga, Arifin Tasrif berkata, harga petrol bersubsidi dinaikkan kepada 10,000 rupiah seliter daripada 7,650 rupiah, manakala diesel bersubsidi meningkat kepada 6,800 rupiah seliter daripada 5,150 rupiah.

Sementara itu, menurut Presiden Joko Widodo, kerajaan sebenarnya mahu harga bahan api domestik kekal mampu milik dengan memberikan subsidi, tetapi bajet untuk subsidi telah meningkat tiga kali ganda dan akan terus meningkat.

Tambahnya, kerajaan perlu membuat keputusan dalam keadaan yang sukar dan itu adalah pilihan terakhir kerajaan.

Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu telah menaikkan subsidi tenaga pada 2022 kepada 502 trilion rupiah, tiga kali ganda daripada bajet asal didorong oleh kenaikan harga minyak global dan mata wang rupiah yang menyusut.

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati berkata, jika harga tidak dinaikkan, bajet akan melonjak kepada 698 trilion rupiah.

Beliau menganggarkan jumlah subsidi tenaga akan berkisar antara 591 trilion dan 649 trilion rupiah untuk tahun ini berikutan kenaikan harga dengan mengandaikan purata harga minyak mentah kekal antara AS$85 dan AS$100 setong sepanjang tahun ini.