Indonesia sambut dirgahayu ke-76 hari ini

Bernama
Ogos 17, 2021 08:55 MYT
Helikopter Tentera Nasional Indonesia membawa bendera republik itu sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-76. - Gambar/ Reuters
JAKARTA: Indonesia meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-76 secara ringkas hari ini ketika republik itu masih merekodkan peningkatan berterusan kes-kes COVID-19.
Bertemakan "Indonesia Tangguh, Indonesia Tumbuh" (Tough Indonesia, Growing Indonesia), upacara sambutan di Istana Merdeka, Jakarta diadakan dengan protokol kesihatan yang ketat sama seperti tahun lepas.
Indonesia kini mencatatkan lebih 3.8 juta kes positif COVID-19 dan lebih 118,000 kematian.
"Kehadiran tokoh-tokoh pemimpin politik, menteri-menteri Kabinet Indonesia dan tetamu kehormat negara, adalah secara maya.
Menurut Kementerian Sekretariat Negara, lebih 40,000 peserta berdaftar menerusi laman https://pandang.istanapresiden.go.id bagi mengikuti upacara sambutan berkenaan secara maya dan turut disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.
Hanya 67 individu termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo yang hadir menyertai sambutan di Istana Merdeka.
Upacara bermula pukul 10 pagi waktu Indonesia barat dengan pembacaan Proklamasi Kemerdekaan oleh Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen Indonesia) Puan Maharani, dan upacara menaikkan bendera Merah Putih.
-- BERNAMA
#Indonesia #kemerdekaan #sambutan ulang tahun #Dirgahayu #COVID-19 #Jokowi