Indonesia akan mengenakan semula langkah-langkah pencegahan yang ketat atau sekatan pergerakan jika terdapat laporan peningkatan kes baharu COVID-19, kata Presiden Joko Widodo pada Rabu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Semasa melawat Pejabat Pasukan Petugas Kebangsaan COVID-19 di Jakarta, Widodo mahu ketua daerah melaksanakan fasa kebiasaan baharu ke dalam rutin harian masyarakat.

Tambah beliau selalunya ada risiko kawasan penularan virus baharu atau peningkatan jangkitan andai kebiasaan baharu tidak diterapkan di peringkat awal.

Pada Rabu, Indonesia melaporkan 1,241 kes baharu COVID-19, jumlah tertinggi dalam tempoh sehari.

Kes jangkitan setakat ini berjumlah 34,316, termasuk 1,959 kematian dan 12,129 pesakit sembuh.

Menurut statistik kerajaan setakat 2 Jun, seramai 3.05 juta orang di Indonesia kehilangan pekerjaan akibat wabak COVID-19.

-- BERNAMA