Indonesia tahan lelaki Perancis cabul lebih 300 kanak-kanak jalanan

Astro Awani
Julai 10, 2020 23:30 MYT
Polis menemui banyak video di komputer riba milik suspek Francois Camille Abello mencabul lebih 300 kanak-kanak. -AP
Pihak berkuasa Indonesia telah menahan seorang lelaki warga Perancis kerana didakwa melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
Polis menemui banyak video di komputer riba milik suspek Francois Camille Abello yang dipercayai telah mencabul lebih 300 kanak-kanak jalanan di republik itu.
Ketua Polis Jakarta berkata suspek ditahan akhir bulan lalu di sebuah bilik hotel di mana dia dijumpai dengan dua kanak-kanak perempuan dalam keadaan bogel.
Katanya pihak berkuasa mendapat maklumat daripada penduduk berhampiran yang mengesyaki terdapat warga asing yang sedang mengeksploitasi kanak-kanak.
Hasil siasatan awal mendapati terdapat video yang menunjukkan suspek melakukan perbuatan seks haram dengan 305 kanak-kanak berusia di antara 10 dan 17 tahun.
Terdapat laporan bahawa pedofil warga asing semakin kerap menyasarkan kanak-kanak di Indonesia namun hanya sedikit penangkapan dibuat.
#Francois Camille Abello #Indonesia #kanak-kanak perempuan #pedofil #pedofilia #penderaan seksual #seks #warga asing #warga Perancis