JAKARTA: Indonesia masih belum membeli minyak daripada Rusia kerana ia belum tersedia namun kerajaan terbuka untuk membeli minyak murah dari mana-mana negara.

Menteri Tenaga Indonesia, Arifin Tasrif berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada negara itu telah membeli sebarang minyak dari Rusia.

Beliau berkata terdapat permintaan yang tinggi untuk minyak Rusia kerana ia dijual di bawah harga antarabangsa.

Jelasnya lagi, sekiranya terdapat minyak yang dijual murah daripada mana-mana negara sudah pasti Indonesia akan membelinya.

Bagaimanapun, sebarang langkah untuk membeli minyak mentah Rusia pada harga melebihi had yang dipersetujui oleh negara G7 boleh menyebabkan Indonesia dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan sekatan, Arifin berkata ia akan menjadi kebimbangan, tetapi beliau menggariskan Indonesia setakat ini tidak dapat membeli minyak itu.

Presiden Joko Widodo memberitahu Financial Times awal bulan ini bahawa Indonesia sedang mempertimbangkan untuk menyertai India dan China dalam membeli minyak Rusia untuk mengimbangi tekanan yang semakin meningkat terhadap bil subsidi tenaga negaranya.

Jakarta bulan ini telah menaikkan harga bahan api bersubsidi untuk menangani belanjawan subsidi tenaga yang melonjak.

BACA: Indonesia naikkan harga bahan api, kurangkan kos subsidi